SEJARAH SABAH YOUTH DAY

0 comments
LATAR BELAKANG

Sejak tahun 2004, SYD atau Sabah Youth Day telah menjadi satu acara Gereja bersama belia, untuk belia dan dari belia. Ia adalah hasil dari Jubli Belia Tahun 2000 yang mana pada masa tersebut Komisi Belia Keuskupan Kota Kinabalu dan Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Keningau bersetuju mengadakan pesta belia besama sekali dalam 4 tahun.

SYD-1 telah diadakan di Keningau pada 23 -27 Ogos 2004 dengan tema, “Kami ingin bertemu dengan Yesus”  (Yohanes 12:21).  Ia disertai lebih dari 1000 belia.  Sementara SYD-2 telah diadakan pada 19 -23 Ogos 2008 di Ranau. Temanya adalah “Kamu akan menerima kuasa kalu Roh Kudus turun ke atas kamu dan kamu akan menjadi saksi-Ku” (Kisah 1:8). Hampir 2000 belia telah datang bersama-sama menyertai program ini.  Pada tahun itu, buat pertama kalinya empat paroki dari kawasan pantai timur (iaitu Sandakan, Telupid, Lahad Datu dan Tawau) menyertai SYD-2  sebagai  keuskupan  Sandakan.  Ini telah menjadi satu sejarah bagi SYD sebab ia merupakan program gabungan tiga keuskupan di Sabah. Konsep SYD-2 juga agak berlainan dari yang lalu sebab kali ini ia melibatkan keluarga di mana kebanyakan peserta ditempatkan bersama keluarga angkat dari seluruh paroki Ranau.  Pada penghujung Misa SYD-2, Uskup Agung John Lee mengumumkan SYD-3 akan diadakan di Tambunan pada tahun 2012.


Sumber: http://syd3.blogspot.com/p/pengenalan.html




RASIONAL SABAH YOUTH DAY

Secara amnya belia adalah golongan yang aktif, berpotensi, berbakat, berkepimpinan dan penuh dengan impian. 60% bilangan penduduk di Malaysia adalah terdiri daripada belia. Ramai daripada golongan ini terlibat dalam pembangunan Negara dan dalam aktiviti kemasyarakatan. Dunia globalisasi menawarkan banyak pilihan dan peluang untuk belia mengembangkan potensi dan meningkatkan taraf kehidupan. Justeru itu golongan ini dilihat sebagai harapan bangsa dan negara.

Gereja juga melihat golongan ini sebagai harapan serta pemimpin hari ini dan masa hadapan, seperti ucapan Bapa Suci Yohanes Paulus II yang telah mengasaskan Hari Belia Sedunia, sering mengatakan bahawa, “belia adalah harapan hari esok. Belia adalah harapan Gereja dan masyarakat”.


Namun tidak dinafikan belia ini mengalami pelbagai situasi dalam mencapai impian mereka ataupun dalam menemukan arah hidup mereka. Dunia masakini juga penuh dengan dendam, ancaman dan persaingan. Di Malaysia khasnya, berlaku persaingan dan diskriminasi dari segi hak agama, bangsa dan budaya yang mewujudkan ketidakharmonian diantara kaum khususnya dalam institusi keluarga. Keadaan ini mempengaruhi perkembangan peribadi belia menyebabkan mereka sendiri menjadi mangsa dan hilang harapan dalam kehidupan. Demikian juga situasi belia di Sabah hari ini yang terdedah dengan isu agama, masalah perpecahan dalam keluarga dan kehidupan sosial yang hilang moral sehingga terjerumus dalam budaya “it’s okay”.


Belia Katolik pada masa kini juga tidak lari dari berhadapan dengan situasi ini. Mereka juga leka dan dikaburi dengan arus kemodenan dunia. Kesannya ramai yang tidak peduli kepada ajaran Gereja dan tidak percaya kepada Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat. Iman itu telah menjadi yang bukan “utama”.
Penganjuran Sabah Youth Day (SYD) yang pertama, kedua dan ketiga merupakan usaha Gereja yang telah terbukti dapat membantu belia agar teguh dalam iman, dan mapan dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan cabaran.


SYD releven bagi belia Katolik di Sabah kerana belia dari tiga diosis dapat berkumpul, menjadi satu dan mengeratkan hubungan persahabatan yang saling meneguhkan iman. Ia juga merupakan landasan bagi belia untuk terlibat aktif dan matang dalam pelayanan Gereja serta kepimpinan dalam masyarakat. Selain itu, SYD menyediakan ruang kepada para belia untuk memperkukuhkan identiti mereka sebagai anak-anak Allah yang mempunyai keyakinan penuh akan cintakasihNya. Melalui SYD juga ramai yang telah menyahut panggilan Tuhan sebagai religus dan paderi.


Maka dengan kenyataan ini, penganjuran SYD4 perlu diteruskan! Oleh kerana SYD merupakan program Gereja untuk belia, maka usahasama dengan para religus, paderi dan komisi-komisi lain, iaitu komisi keluarga, pembangunan insan, katekatikal, kerasulan wanita, pendidikan , Komunikasi Sosial, Alkitab, liturgi, adalah suatu keperluan mendesak kerana pelayanan belia bukan untuk Komisi Belia sahaja. Disebabkan oleh isu-isu semasa yang semakin mencabar dan mengancam belia, maka ini menuntut tanggungjawab kita bersama untuk memperkasakan jati diri belia.


Sumber: https://docs.google.com/file/d/0B3aGFObhFMY1Z082TzlJdF9OdUk


Followers

 

Since 2014 for SYD04. Copyright 2008 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol.com